Download

CIRI-CIRI KEPEMIMPINAN DARI PERSPEKTIF ISLAM

CIRI-CIRI KEPEMIMPINAN DARI
PERSPEKTIF ISLAM
( Haji Mohd. Ali Saripan)
Pendahuluan

Walaupun Nabi Muhammad (s.a.w.) sudah lama
meninggalkan umatnya, namun obor kepemimpinannya tetap
bersinar memberi cahaya kepemimpinan kepada sesiapa
sahaja yang ingin kepada kesejahteraan. Muhammad
(s.a.w.) telah meninggalkan al-Qur’an sebagai asas
kepemimpinan cemerlang dan sunnahnya yang menjadi
bahan ikutan dan contoh teladan kepada manusia
sejagat. Pra-syarat kepemimpinan yang berkualiti
mengikut Islam ialah:

Penghayatan Budaya Ilmu

Syarat ini perlu dipenuhi oleh setiap individu yang
bergelar pemimpin, segala tindak-tanduk dan corak
kepemimpinan mestilah bersandarkan ilmu. Ayat
al-Qur’an yang pertama diturunkan kepada Nabi Muhammad
(s.a.w.) berkait-rapat dengan ilmu dan pengajian:

“Bacalah (wahai Muhammad) dengan nama Tuhanmu yang
menciptakan sekalian makhluk. Ia menciptakan manusia
daripada seketul darah beku. Bacalah dan Tuhanmu yang
amat pemurah yang mengajar manusia melalui pena dan
tulisan. Ia mengajar manusia apa yang tidak
diketahuinya.”

Maksud: Surah al-‘Alaq 96:1-5

Syarat ini amat wajar dipenuhi kerana pemimpin
bertanggungjawab mengurus dan memimpin institusi atau
organisasi. Sungguh aneh andainya sebagai seorang
pemimpin atau pengurus sesuatu institusi, lebih-lebih
lagi institusi ilmu, ia tidak menghayati budaya ilmu.
Pemimpin perlu menunjuk contoh kepada orang-orang di
bawah pimpinannya.

Dalam sirah hidupnya Rasulullah (s.a.w.) sebelum dan
selepas dilantik menjadi rasul baginda adalah seorang
pemuda yang begitu berminat menambah maklumat semasa
dan arus kepemimpinan organisasi perniagaan yang
begitu berkembang pada zaman mudanya. Maklumat
perniagaan yang dipelajari daripada beberapa misi
dagang luar kota Makkah memantapkan baginda untuk
menjadi pengurus syarikat perniagaan yang cemerlang
yang dimiliki oleh isteri baginda, Khadijah (r.a.).

Para sahabat terdekat yang menjadi khalifah selepas
baginda juga merupakan pemimpin-pemimpin yang cukup
terdedah dengan ilmu dan maklumat pada zamannya
melalui misi dagang yang sentiasa berulang-alik ke
luar negeri.

Allah (s.w.t.) menamakan satu surah dalam al-Qur’an
yang mencatatkan tentang budaya Quraisy yang terkemuka
dalam perdagangan dan menguasai import-eksport dunia
pada zaman awal Islam.

“Kerana kebiasaan aman tenteram kaum Quraisy (penduduk
Makkah). Iaitu kebiasaan aman tentera perjalanan
mereka menjalankan perniagaan pada musim sejuk ke
negeri Yaman dan musim panas ke negeri Syam. Maka
hendaklah mereka menyembah Allah yang menguasai rumah
(Kaabah) ini. Tuhan yang memberi mereka penghidupan,
menyelamatkan mereka daripada kelaparan dan
mengamankan mereka daripada ketakutan.”

Maksud: Surah al-Quraysh 106: 1-4

Hal ini membuktikan betapa hebatnya perkembangan
budaya maklumat dalam masyarakat Arab Quraisy pada
zamannya.

Memiliki Sahsiah atau Akhlak Yang Baik
Seorang pemimpin merupakan cermin kepada masyarakat.
Dirinya, tutur katanya dan tindak-tanduknya akan
menjadi ikutan kepada anak budahnya. Nabi Muhammad
(s.a.w.) memiliki akhlak yang mulia serta mempunyai
kualiti diri yang amat unggul.

“dan sesungguhnya engkau (Muhammad) memiliki akhlak
yang unggul.”

Maksud: Surah al-Qalam 68:4

Akhlak boleh menentukan kecemerlangan kepemimpinan
seseorang. Negara Malaysia telah menggariskan
dasr-dasar utama ke arah pembangunan akhlak dan moral
yang tinggi, seperti:

· Bersih, Cekap, Amanah (1982)

· Kepemimpinan Melalui Teladan (1983)

· Dasar Penerapan Nilai-nilai Islam (1985)

Dasar-dasar ini menjadi slogan kepada setiap pemimpin
di negara ini, sama ada pemimpin kecil atau pemimpin
peringkat tertinggi.



Berani dan Bersedia Menanggung Risiko
Kepemimpinan yang berkesan dan cemerlang berkait rapat
dengan sifat keberanian untuk mencuba dan sanggup
memikul risiko. Yang dimaksudkan dengan keberanian
ini ialah yang berasaskan kepada pertimbangan rasional
dan ilmu. Ianya bukan berani tolol tetapi berani
pintar. Sifat ini mendorong seseorang meneroka
bidang-bidang baru dan mencabar.

Seorang juruterbang berani mendaratkan pesawatnya pada
waktu malam atau keadaan kabus berdasarkan ilmu
penerbangan dan perkiraan yang tepat. Anggota pasukan
payung terjun sanggup terjun dari udara setelah
menjalani latihan praktikal serta mempelajari
kaedah-kaedah pernafasan dan keselamatan teknikal.

Orang Islam haruslah bersifat berani dalam melakukan
sebarang kerja, kerana al-Qur’an sentiasa menjamin
kejayaan kepada mereka yang melakukan sesuatu kerja
dengan tekun mengikut prosedur-prosedur yang
ditetapkan.



“Dan sesiapa yang menjaga batas-batas suruhan dan
larangan Allah (taqwa) pasti Allah akan memberi
kejayaan.”

Maksud: Surah al-Talaq 65:2



“Dan sesiapa yang mengikut aturan Allah dan RasulNya
serta sentiasa mengawasinya dengan berhemat, maka
mereka itulah orang yang berjaya dengan cemerlang.”

Maksud: Surah al-Nur 24:52



“Dan sesiapa yang mengawal diri daripada segala bentuk
penyelewengan dan kebatilan, Allah akan memudahkan
jalan kejayaan baginya.”


Maksud: Surah al-Talaq 65:4


Di samping itu, orang yang memiliki serta memahami
konsep tawakkal yang menyeluruh akan mantaplah
keyakinan dan keberaniannya, kerana setelah mengikut
segala arahan dan prosedur, lalu ia menyerahkan kepada
takdir Allah (s.w.t) yang boleh menentukan
segala-galanya. Manusia hanya merancang dan Allah
(s.w.t) yang menentukannya.

“Dan juga bermesyuaratlah dengan mereka dalam urusan
peperangan dan soal-soal keduniaan itu. Kemudian
apabila engkau telah berazam sesudah bermesyuarat
untuk membuat sesuatu, maka bertawakallah kepada
Allah, kerana sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang
yang bertawakkal kepadaNya.”

Maksud: Surah al-Imran 3:159



Ayat-ayat ini menunjukkan betapa kental semangat
orang-orang Islam dalam berusaha mencapai kejayaan dan
kecemerlangan dalam hidup.

Keterbukaan
‘Al-Samahah’ iaitu bersifat terbuka dan mengamalkan
dasar pintu terbuka, bersedia mendengar, menerima
pandangan, berbincang dan mengamal pentadbiran dengan
cara muafakat dan mesyuarat. Pemimpin yang memiliki
keyakinan diri yang kental dan tidak merasa terancam
oleh pandangan, saranan dan idea orang bawahnya atau
orang lain.

Pemimpin yang memiliki sifat ini akan menjadi seorang
pemurah bila mana memilik harta dan dapat mengawal
diri apabila berhadapan dengan tuntutan nafsu, sabar
dalam menempuh dugaan. Orang yang memiliki sifat ini
akan terselamat daripada godaan nafsu dan pengaruh
persekitaran yang menyeleweng dan dirinya sentiasa
berjuang untuk mendapat kesempurnaan.

Dalam sejarah Islam terdapat banyak contoh teladan
yang ditunjukkan Rasulullah (s.a.w.) yang mempunyai
kaitan dengan sifat ini, baik dalam urusan peribadi
mahupun urusan negara. Baginda menerima teguran para
sahabat dalam mengatur strategi peperangan seperti
peperangan Badar. Dalam perjanjian Hudaibiyah,
Rasulullah (s.a.w.) sungguh berlapang dada dalam
menghadapi karenah wakil masyarakat Makkah semasa
perundingan untuk memeteraikan perjanjian tersebut
sehingga berlaku pembukaan Makkah tanpa mengorbankan
setitik darah pun.

Banyak ayat al-Qur’an yang mempopularkan sifat ini
agar ianya menjadi nilai yang mantap dalam diri
individu:

“Orang yang bertaqwa yang sentiasa mendapat keampunan
Allah, kebahagian syurga ialah orang-orang yang
menderma hartanya pada masa senang dan susah dan
orang-orang yang menahan kemarahannya dan orang-orang
yang memaafkan kesalahan orang. Dan juga apabila
mereka melakukan kesilapan dan kesalahan keji atau
menzalimi diri sendiri, mereka segera meminta
keampunan daripada Allah.”

Maksud: Surah al-Imran 3:134



“Dan Hamba-hamba Allah yang berjaya itu ialah mereka
yang berjalan di bumi dengan sopan-santun dan apabila
orang-orang yang kurang adab menghadapkan kata-kata
kepada mereka, mereka terus menjawab dengan perkataan
“salam sejahtera dan selamat daripada perkara yang
tidak diingini”.

Maksud: Surah al-Furqan 25:63



Pemimpin Yang Memberi Dorongan (Motivator)

Pemimpin yang berjaya ialah pemimpin yang mampu
melahirkan kerangsangan kepada anak buahnya agar
sentiasa positif. Sikapnya memandang jauh ke hadapan.
Apa yang terbayang di kepalanya ialah kejayaan dan
kecemerlangan semata-mata. Ini stail kepemimpinan
al-Qur’an serta contoh yang ditunjukkan oleh Nabi
Muhammad (s.a.w.).

“Dan tidaklah kami mengutuskanmu (wahai Muhammad)
melainkan untuk umat manusia seluruhnya, sebagai Rasul
pembawa berita gembira (kepada orang yang beriman) dan
pemberi amaran (kepada manusia yang ingkar); akan
tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui hakikat
ini.”

Maksud: Surah Saba’ 34:28



Inilah gambaran pemimpin umat yang berjaya yang dapat
dicontohi oleh seluruh umat manusia dalam memberi
rangsangan kepada orang-orang di bawah pimpinannya.

Dalam satu ayat yang lain pula, Allah (s.w.t.)
menegaskan:

“Sesungguhnya orang-orang yang menegaskan keyakinannya
dengan berkata: Tuhan kami ialah Allah. Kemudian
mereka tetap teguh di atas jalan yang betul, akan
turunkan Malaikat kepada mereka dari semasa ke semasa
memberi ilham: Janganlah kamu bimbang (dari
berlakunya kejadian yang tidak baik terhadap kamu)
serta janganlah kamu berdukacita dan terimalah berita
gembira bahawa kamu akan beroleh syurga yang telah
dijanjikan.”

Maksud: Surah al-Fussilat
41:30

Kepemimpinan yang cemerlang selalu sahaja memberi
pengharapan yang baik lagi sempurna serta tidak putus
asa dalam sebarang hal sekalipun.

“Janganlah berputus harap daripada rahmat Allah,
sesungguhnya Allah itu suka memaafkan segala dosa dan
kesalahan.”

Maksud: Surah al-Zumar 39:53



Nabi Allah Ibrahim (a.s.) yang sudah lanjut umurnya
didatangi tetamu (para Malaikat) untuk memberi khabar
gembira kepadanya, iaitu beliau akan dikurniakan anak
lelaki (Nabi Ishak). Nabi Ibrahim seolah-olah tidak
percaya kerana kelanjutan umurnya.

“Dan khabarkanlah kepada mereka perihal tetamu Nabi
Ibrahim. Tatkala mereka masuk mendapatkannya lalu
memberi salam dengan berkata: Selamat sejahtera
kepadamu! Ia berkata: Sesungguhnya kami berasa takut
kepada kamu. Mereka menjawab: Janganlah engkau
takut, sebenarnya Kami hendak menggembirakanmu dengan
berita bahawa engkau akan beroleh seorang anak lelaki
yang bakal menjadi seorang yang berilmu. Nabi Ibrahim
berkata: Betulkah kamu menggembirakan daku dengan
berita demikian, padahal aku sudah tua, maka dengan
jalan apakah kamu menggembirakan daku. Mereka
menjawab: Kami menggembirakanmu dengan jalan yang
sungguh benar, oleh itu janganlah engkau menjadi orang
yang berputus asa. Nabi Ibrahim berkata: Dan
tiadalah siapa yang berputus asa daripada rahmat Allah
melainkan orang yang sesat (bodoh).”

Maksud: Surah al-Hijr
15:5-6



Inikah sikap serta stail kepemimpinan yang digambarkan
oleh al-Qur’an dalam membangun umat yang cemerlang.

Kepimpinan Islam bersifat dinamis bergerak sehaluan
dengan matlamat, kreatif dalam mengatur strategi,
inovatif lagi imaginatif dalam menentukan
langkah-langkah untuk menggerakkan dan memajukan tugas
dan tanggungjawab.

Inilah karisma pemimpin yang dituntut oleh Islam untuk
membawa kecemerlangan kepada umat.

“Allah (s.w.t.) telah mengutuskan dalam kalangan orang
Arab yang umiyyin seorang Rasul (Muhammad) daripada
bangsa mereka sendiri yang membaca kepada mereka
ayat-ayat yang membuktikan keesaan Allah, dan
kekuasaan-Nya dan membersihkan mereka dari pegangan
hidup yang sesat serta mengajar mereka al-Qur’an dan
dan hikmat ilmu yang mendalam mengenai hukum Syariat.
Dan sesungguhnya mereka sebelum kedatangan Nabi
Muhammad itu adalah kesesatan yang nyata.”

Maksud: Surat al-Jumu’ah
62:2

Ayat ini menggambarkan kecemerlangan yang dicapai oleh
umat Arab Quraisy di bawah pimpinan Rasulullah
(s.a.w.). Pimpinan Rasulullah merubah struktur
kehidupan zaman jahiliyah yang tidak mempunyai
matlamat kepada wawasan hidup yang bersandarkan tauhid
dan penyatuan bangsa. Pimpinan Rasulullah bukan
berkesan untuk kaum Arab zamannya sahaja bahkan ia
akan juga menggerakkan umat-umat yang sentiasa
mendekati langkah dan gaya kepemimpinan baginda itu.

Dinamika yang dizahirkan oleh kepemimpinan Islam ini
dapat melahirkan manusia yang bertanggungjawab yang
mampu melaksanakan tugas dengan sempurna.

Di samping itu, Allah (s.w.t.) menggambarkan kegagalan
bangsa Yahudi dalam meneruskan kepemimpinan Nabi Musa:



“Bandingan mereka (Yahudi) yang dipertanggungjawab dan
ditugaskan melaksanakan hukum kitab Taurah kemudian
mereka tidak menyempurnaakannya samalah seperti keldai
yang memikul bungkusan kitab-kitab besar, sedangkan ia
tidak mengetahui kandungannya…”

Maksud: Surah al-Jumu’ah 62:5



Pemimpin yang tegas (assertive), tidak berkompromi
pada prinsip, tetapi terbuka dalam perkara cabangan
dan ijtihad.



“Allah telah mengutus Rasul-Nya Muhammad dengan
membawa hidayat petunjuk dan cara hidup yang benar,
supaya ia memenangkannya dan meninggikannya atas
segala bawaan agama/cara hidup yang lain. Dan
cukuplah Allah menjadi saksi tentang kebenaran apa
yang dibawa oleh Rasul-Nya.”

Maksud: Surah al-Fath 48:28



Dalam ayat lain pula Allah telah menyatakan sikap dan
watak Nabi Muhammad dan para sahabatnya:



“Nabi Muhammad ialah pesuruh Allah, dan orang yang
bersama dengannya bersikap keras dan tegas terhadap
orang kafir yang mengingkari kebenaran dan kebaikan
ajaran Islam.”

Maksud: Surah al-Fath 48:29



Pemimpin yang mempunyai prinsip akan tetap
mempertahannya dan sanggup berkorban demi prinsipnya.
Namun begitu mereka tetap boleh berkompromi dalam
perkara-perkara cabangan dan ijtihad yang berkait
dengan soal-soal teknikal.



Pemimpin Yang Sentiasa Bermuhasabah

Pemimpin yang cemerlang ialah pemimpin yang sangat
kerap membuat penilaian terhadap pelaksanaan tugas dan
tanggungjawab serta memiliki tahap-tahap pencapaian
dan natijah atau hasil usahanya. Tujuan penilaian
dibuat ialah untuk mencari kelemahan-kelemahan yang
boleh diperbaiki serta ditinggalkan dan untuk melihat
kejayaan-kejayaan yang boleh diperkembang.



Islam menggariskan muhasabah sebagai asas kepada rukun
iman; iaitu mengimani Yaum al-Hisab ertinya setiap
orang Islam semestinya melakukan sesuatu pekerjaan
dengan penuh rasa tanggungjawab dan berwaspada tentang
suatu hari di mana semua tingkahlaku dan tindak-tanduk
akan dikira dan dihisab.



“Wahai Daud! Sesungguhnya Kami telah menjadikanmu
khalifah di bumi, maka jalankanlah hukum antara
manusia dengan hukum syariat yang benar yang
diwahyukan kepadamu, dan janganlah engkau menurut hawa
nafsu, kerana yang demikian itu akan menyesatkanmu
daripada jalan Allah. Sesungguhnya orang-orang sesat
daripada jalan Allah akan beroleh azab yang berat
disebabkan mereka lupa tentang hari perhitungan
(hisab).”

Maksud: Surat al-Sad 38:26



Allah (s.w.t.) menjanjikan kepada orang yang sentiasa
berwaspada daripada melakukan sesuatu yang negatif
yang dimurkai Allah serta memiliki sifat-sifat mulia
sebutan penghormatan dan kecemerlangan di dunia dan di
akhirat mendapat tempat yang teristimewa:



“Inilah dia balasan yang dijanjikan kepada kamu
setelah selesai segala hitungan amal pada Hari Hisab.”


Maksud: Surah al-Sad 38:53



Pemimpin yang sentiasa berwaspada dan berprihatin
terhadap urusan kepemimpinan pasti akan beroleh
kejayaan dan kemenangan.



“Barangsiapa yang selalu berwaspada dalam segala
tindak-tanduknya Allah akan memberi kejayaan dan
memudahkan segala urusannya serta menutup segala
kelemahannya dan diangkat darjatnya.”

Maksud: Surah al-Talaq 65:4



Pimpinan Yang Sanggup Berkorban dan Tidak
Ada Kepentingan Diri
Pemimpin yang cemerlang ialah pemimpin yang prihatin
terhadap kepentingan anak buahnya dan kepentingan
umum. Dalam menjalankan tugasnya dia dapat membezakan
antara kepentingan diri atau keluarga dengan
kepentingan awam. Dia sanggup mengorbankan
kepentingan peribadi demi mencapai maslahat umum.

Rasulullah (s.a.w.) dan para sahabatnya adalah
sebaik-baik contoh dalam hal ini.

“Sesungguhnya telah datang kepada kamu seorang Rasul
dari golongan kamu sendiri (iaitu Muhammad s.a.w.)
yang sangat prihatin terhadap sebarang kesusahan yang
ditanggung oleh kamu, yang sangat lobakan (inginkan)
kebaikan bagi kamu dan ia pula menumpahkan perasaan
belas kasihannya kepada orang-orang yang beriman.”

Maksud: Surah al-Taubah 9:128



Itulah sikap Rasulullah (s.a.w.) dalam melaksanakan
tugas kepimpinannya dan melayani umatnya. Dalam ayat
lain Allah menggambarkan keistimewaan masyarakat
Madinah (Ansar) dalam melayani kaum Muhajirin yang
dihalau oleh Musyrikin Makkah:



“Dan orang-orang Ansar yang mendiami negeri Madinah
serta beriman sebelum mereka mengasihi orang-orang
yang berhijrah ke negeri mereka dan tidak ada pula
dalam hati mereka perasaan berkehendak kepada apa yang
telah diberikan kepada orang-orang yang berhijrah itu
dan mereka juga mengutamakan orang yang berhijrah itu
lebih daripada diri sendiri. Sekalipun mereka dalam
keadaan kekurangan dan sangat-sangat berhajat. Dan
ingatlah! Sesiapa yang menjaga serta memelihara
dirinya daripada dipengaruhi oleh tabiat bakhilnya
maka merekalah orang-orang yang berjaya.”

Maksud: Surah al-Hasyr 59:9



Seorang pemimpin haruslah menunjukkan sikap tidak
mementingkan diri dan sedia mengorbankan kepentingan
peribadi. Dalam hal ini Nabi Allah Ibrahim adalah
sebaik-baik contoh di mana beliau telah diuji oleh
Allah supaya menyembelih anak lelaki kesayangannya
iaitu Ismail. Demi perintah Allah yang amat dipatuhi
beliau terus laksanakan arahan itu walaupun hati
kecilnya terlalu amat kasih kepada anaknya. Ini
adalah satu ujian yang besar kepada seorang Nabi yang
akan memimpin umatnya ke arah jalan yang bahagia.
Akhirnya Nabi Ibrahim digolongkan dalam kalangan orang
yang cemerlang di dunia dan akhirat.



“Sesungguhnya ini ialah satu ujian yang nyata dan Kami
telah tebuskan anaknya (Ismail) itu dengan seekor
binatang sembelihan yang besar dan Kami kekalkan
baginya nama yang harum dalam kalangan manusia sebagai
sejarah. Salam sejahtera kepada Nabi Ibrahim.
Demikianlah sebenarnya kami membalas orang yang
berusaha mengerjakan kebaikan.”

Maksud: Surah al-Saffat 37:106-110



Sifat terakhir yang pasti dimiliki oleh seorang
pemimpin ialah:

Mengingati Allah

Zikrullah dalam ertinya yang lebih luas iaitu
meletakkan Allah sebagai matlamat terakhir dalam
sesuatu tindakan dan urusan. Zikrullah bukanlah hanya
dengan mengingat di dalam hati atau menyebut dengan
tulisan semata-mata bahkan termasuk juga segala bentuk
tindakan atau amalan.

Orang Islam mestilah meletakkan Allah di awalan dan
akhiran. Itulah yang dikatakan jihad fi sabilillah.
Berusaha sekuat tenaga untuk menegakkan polisi Allah
(s.w.t.) yang memberi kebaikan kepada seluruh alam dan
penghuni-penghuninya.

Zikrullah yang paling tinggi darjatnya ialah solat
lima waktu. Solat merupakan manifestasi dan zikrullah
secara menyeluruh meliputi hati, lisan dan perbuatan.



“Bacalah serta ikutilah (wahai Muhammad) apa yang
diwahyukan kepadamu daripada al-Qur’an dan dirikanlah
sembahyang dengan tekun, sesungguhnya sembahyang itu
mencegah daripada perbuatan keji dan mungkar,
sesungguhnya mengingati Allah adalah lebih besar
faedahnya dan kesannya.”

Maksud: Surah al-Ankabut
29:45



Zikrullah juga melahirkan keyakinan diri dan
ketenangan jiwa yang mampu menghadapi segala problem
dengan hati yang tenang dan fikiran terbuka.



“Orang yang beriman dan tenang tenteram hati mereka
dengan zikrullah, ketahuilah dengan zikrullah itu
tenang dan tentera hati manusia.”

Maksud: surah al-Ra’d 13:28



Ketenangan dan kejernihan jiwa adalah faktor utama
untuk membentuk seorang pemimpin yang cemerlang.

Kesimpulan

Pemimpin yang cemerlang ialah pemimpin yang memenuhi
kriteria-kriteria yang tersebut secara total. Untuk
melahirkan manusia seperti itu bukanlah suatu hal yang
senang. Allah s.w.t. telah mengutuskan para Rasul-Nya
untuk merealisasikan kepemimpinan sejati serta
dibekal-Nya dengan kitab-kitab (suhuf) yang menggaris
panduan dalam bentuk suratan. Rasul yang terakhir
ialah Nabi Muhammad (s.a.w.) dengan al-risalahnya yang
teragung iaitu al-Qur’an al-Karim.

Rujukan

1. Al-Qur’an al-Karim.

2. Dr. Yusuf Al-Qaradawi, Fiqih
Daulah Dalam Perspektif Al-Qur’an dan Al-Sunnah,
Pustaka Al-Kausar, Indonesia.

3. Dr. Yusuf Al-Qaradawi, Fiqh
Keutamaan Berdasarkan Al-Qur’an dan Al-Sunnah, ABIM,
1996.

4. Matan Al-Arbain, Imam Nawawi.

5. Fathul Mubin Li Syarhil Arbain,
Ibnu Hajar.